Gabungan NGO #CovidCareMy bertekad terus bantu masyarakat terpinggir

PETALING JAYA, Mac 29 – Gabungan NGO Malaysia #CovidCareMy bertekad untuk terus membantu golongan masyarakat yang terpinggir ketika negara tengah mengharungi pelbagai cabaran penularan wabak Covid-19 dan implikasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pakcik Ahmad memerlukan ubat kencing manis”
“Ms Lee memerlukan tin susu dan panadol”
“Puan Siti memerlukan pampers untuk anak OKU”
“Aunty Rani memerlukan barang runcit”

“NGO dilarang agih makanan terus kepada penerima,” arah Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob Menteri Pertahanan Malaysia semalam.

“Larangan ini tidak akan menjadi penghalang kepada usaha DHRRA Malaysia, yang merupakan peneraju Gabungan NGO Malaysia #covidcaremy, untuk terus membantu mereka yang memerlukan,” kata Saravanan M. Sinapan, Presiden DHRRA Malaysia.

Beliau menjelaskan beberapa langkah yang diambil oleh #CovidCareMy untuk memastikan bantuan sampai ke tangan mereka yang memerlukan, yakni:

  1. Bekerjasama dengan RELA bagi tujuan penghantaran barangan keperluan
  2. Menggunakan khidmat pemandu e-hailing untuk penghantaran barangan keperluan
  3. Menyalurkan bantuan kewangan ke dalam akaun penerima

Untuk memastikan bantuan yang disediakan tidak diselewengkan, segala permohonan ditapis sebelum diluluskan untuk memastikan hanya golongan yang memerlukan menerima bantuan berkenaan.

“Kami, DHRRA Malaysia berserta beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang lain telah menghantar surat rayuan kepada Kerajaan Malaysia untuk membenarkan NGO membantu mereka yang memerlukan secara terus dengan mematuhi syarat-syarat MCO.”

“Seperti Pakcik Ahmad yang memerlukan ubat kencing manis, Ms Lee yang memerlukan tin susu dan Panadol, Puan Siti yang memerlukan pampers untuk anak OKU dan Aunty Rani yang memerlukan barang runcit, terdapat ramai lagi masyarakat terpinggir di negara ini yang mempunyai keperluan asas yang tidak dapat dan tidak harus diabaikan, terutamanya dalam keadaan sukar yang melanda negara ketika ini,” kata Saravanan lagi.

Sebagai badan yang dipertanggungjawabkan untuk membantu masyarakat terpinggir di Malaysia, Gabungan NGO #CovidCareMy ingin memastikan barang keperluan dihantar segera kepada para penerima.

“Maka, kami memohon sokongan dan restu Kerajaan bagi usaha murni ini diteruskan dengan lancar,” mohon Saravanan kepada kerajaan.

https://www.thesentral.my/2020/03/29/gabungan-ngo-covidcaremy-bertekad-terus-bantu-masyarakat-terpinggir/

X